ANGGOTA-ANGGOTA polis mengangkat mayat seorang wanita warga Vietnam yang ditemukan mati di sebuah hotel berhampiran Kompleks Pasar Borong, Jalan Ipoh, Selayang, kelmarin.
KUALA LUMPUR 22 Dis. - Kematian seorang wanita warga Vietnam yang diikat dalam keadaan bogel di sebuah hotel berhampiran Kompleks Pasar Borong Jalan Ipoh, Selayang dekat sini semalam mungkin boleh dikaitkan dengan perbuatan seks secara kasar.
Menurut sumber, walaupun siasatan awal polis menunjukkan kematian wanita terbabit konsisten dengan jenayah bunuh, namun pihak penyiasat juga tidak menolak kemungkinan berlaku aktiviti seks yang keterlaluan.
Katanya, ini berikutan wanita terbabit bukan sahaja dikesan bekerja sebagai pelayan di pusat hiburan malah dipercayai turut terlibat dalam aktiviti pelacuran.
“Polis setakat ini masih menyiasat dua kemungkinan yang menimpa mangsa dan kita sedang menunggu hasil laporan bedah siasat daripada pihak forensik hospital untuk menentukan perkara itu.
“Setakat ini, kita percaya dia dibunuh dan motifnya belum diketahui,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Sumber itu memberitahu, polis sedang mengesan seorang lelaki warga tempatan yang berusia 38 tahun untuk membantu siasatan kes tersebut.
“Lelaki yang berasal dari Temerloh, Pahang itu dikesan telah menyewa bilik tersebut dan mangsa dilihat telah memasuki bilik itu,” katanya.
Semalam, sebuah hotel berhampiran Kompleks Pasar Borong Jalan Ipoh digemparkan dengan penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan diikat tanpa seurat benang, di dalam bilik air.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy, mangsa yang ditemukan pekerja hotel yang bertugas di premis itu pada pukul 6.50 petang.
“Ketika ditemui, mangsa didapati berada dalam keadaan telanjang dengan keadaan tangan dan kaki diikat dengan tuala pencuci muka. Malah terdapat kesan lebam di sekitar lehernya akibat dijerut.
“Tiada sebarang dokumen ditemui berhampiran mangsa,” katanya selepas ditemui pemberita di lokasi kejadian malam tadi.
Tambah Munusamy, semakan dengan pihak hotel mendapati bilik tersebut didaftarkan pada pukul 9 malam kelmarin oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an.
0 comments:
Post a Comment